Allahyarham Muammar Gaddafi yang  menerajui Libya selama 42 tahun akhirnya menemui ajal ekoran  pemberontakan yang disokong Barat selama lapan bulan. Walau apapun yang  dikatakan oleh Barat melalui media yang dikuasai mereka, sebagai seorang  Muslim, saya mendoakan semoga Allah merahmati ruhnya, mengampuni   dosa-dosanya dan menerima semua amal ibadahnya.
Kematian, atau lebih tepat mati  syahidnya, menjadi tanda tanya sama ada ditangan pemberontak atau akibat  serangan jet pejuang NATO. Pihak pemberontak mendakwa Muammar mati  setelah cedera akibat serangan pasukan mereka tetapi yang jelas pemimpin  Libya itu mati akibat serangan NATO.
Kematian Muammar Gaddafi  menambah bilangan pemimpin dan pejuang beragama Islam di tangan kuasa  Barat yang dikepalai  Amerika Syarikat dan disokong oleh Zionis Yahudi.   Satu demi satu negara Islam, terutama yang kaya dengan hasil maksul  bumi seperti minyak dan gas, dikuasai oleh golongan yang dicucuk hidung  oleh Barat.
Kita hairan kenapa kebangkitan  rakyat di Bahrain tidak disokong oleh Barat sedangkan mereka (Barat)   begitu cepat mencampuri dan memberi sokongan kepada kebangkitan di  Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan  Suria atau Syria?
Pemimpin Bahrain yang  benar-benar zalim sehingga sanggup memenjara dan menghukum para doktor  dan petugas hospital semata-mata kerana memberi rawatan kepada rakyat  yang bangkit menentang kezaliman itu terus di sokong Barat dan tali  barut utamanya, Arab Saudi.
Apa yang berlaku di Bahrain  dilihat oleh Barat sebagai satu peperangan proksi antara pengaruh Iran  (Syiah) dengan Arab Saudi (Suni/Wahabi) dan memandangkan Iran menjadi  musuh utama Amerika Syarikat dan Barat, maka Bahrain tidak diganggu  gugat walaupun ia menzalimi rakyatnya sendiri.
Lain pula ceritanya dengan Libya  atau Muammar Gaddafi.  Barat, terutama Itali, Perancis dan United  Kingdom dengan bantuan logistik Amerika Syarikat, melancar serangan bom  dan peluru berpandu ke atas negara tersebut sedangkan ketetapan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hanyalah menguatkuasa zon larangan  terbang, bukan menyerang bertubi-tubi. 
Dunia saban hari dihidangkan  berita yang memberi gambaran bahawa Muammar Gaddafi adalah seorang  pemimpin atau diktator yang zalim. Dia mesti diguling atau dihapuskan  atas nama 'demokrasi' yang diterima Barat. Yang peliknya, kenapa  'demokrasi' yang sama tidak dikenakan ke atas Bahrain? 
Oleh kerana begitu hebatnya  propaganda media Barat mengenai 'keburukan' Muammar Gaddafi, maka dunia  mempercayainya, termasuk kita di Malaysia. Media Malaysia menerima  bulat-bulat apa yang disaji oleh media Barat.
Kita tidak menafikan bahawa  sebagai seorang manusia biasa, Muammar Gaddafi tidak sempurna dan tidak  terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi,  kita tidak boleh lupa  jasa dan sumbangannya kepada rakyat dan negara Libya yang tidak  dilaporkan oleh media Barat. 
Ramai daripada kita yang tidak  tahu bahawa di bawah pemerintahan Muammar Gaddafi, rakyat Libya mendapat  bekalan letrik secara percuma, bank-bank milik kerajaan tidak  mengenakan faedah atas pinjaman (sifar riba), pelajaran/pendidikan dan  rawatan perubatan adalah percuma, kerajaan memberi subsidi 50 peratus  untuk pembelian kereta, dan kadar celik huruf mencapai 83 peratus.
Libya juga tidak menanggung beban hutang luar negeri dan jumlah rizabnya mencecah 150 bilion dolar Amerika atau RM470 bilion.
Muammar Gaddafi juga membina  projek pengairan terbesar di dunia bukan untuk bermegah tetapi   memastikan rakyatnya mendapat bekalan air untuk keperluan hidup.  Kebajikan rakyat menjadi keutamaannya termasuk memberi 'gaji setara'  kepada para graduan yang menganggur sehinggalah mereka mendapat  pekerjaan.
Jika benar Muammar Gaddafi  seorang diktator yang zalim seperti yang disebar fitnah oleh Barat,   sudah tentu dia tidak akan melaksanakan semuanya itu. 
Adalah sesuatu yang amat  menyedihkan untuk melihat musibah yang menimpa Iraq akan turut dirasai  oleh Libya.  Hasil maksul bumi Iraq kini dikuasai oleh Amerika Syarikat  dan perkara yang sama akan berlaku ke atas Libya.  Barat melakukannya  atas nama 'demokrasi' dan hak asasi manusia mengikut acuan mereka  sendiri. 
Dunia Arab dan dunia Islam hanya mampu melihat.