Liputan pilihan raya yang terlampau berat sebelah
Selepas hari penamaan calon pada 20 April, saya membuat keputusan untuk 
tidak menulis mengenai kempen parti-parti politik untuk mendapat 
sokongan para pengundi. Saya memilih untuk membaca laporan media 
tradisional dan media baru atau media sosial. 
Saya tahu yang banyak pihak akan membuat ulasan, ramalan dan andaian 
mengenai hala tuju ke 5 Mei, iaitu tarikh pengundian di seluruh negara. 
Semuanya berpaksikan sokongan masing-masing, yang memihak kepada Barisan
 Nasional (BN) akan memberi ulasan yang positif walaupun kebenarannya 
belum tentu begitu, sama juga dengan mereka yang sokong Pakatan Rakyat 
(PR).
Tetapi, sebagai seorang pengamal media walaupun kini dalam wadah media 
alternatif, saya tertanya-tanya ke mana perginya etika kewartawan, di 
mana letaknya keadilan dan kesaksamaan dan kenapa tiada imbangan dalam 
laporan, terutama oleh media tradisional seperti surat khabar dan radio 
serta televisyen.
Setiap hari  pembaca dihidang dengan laporan yang amat berat sebelah, 
iaitu yang memihak kepada BN seolah-olah kita membaca lidah rasmi parti 
politik, bukan sebuah akhbar 'nasional' yang sepatutnya memberi laporan 
yang seimbang, adil dan benar. Kita tahu yang hampir semua akhbar di 
kuasai atau dibawah kawalan parti-parti politik, tetapi dalam membuat 
laporan, etika kewartawanan tidak boleh diketepikan, dinodai atau dalam 
bahasa yang tidak berapa sedap didengar, dilacuri.  Ini yang berlaku.
Begitu jua dengan media elektronik, iaitu radio dan tv. Semua saluran 
tv, khususnya, seolah-olah 'bekerja' untuk BN. Jika adapun laporan 
mengenai parti lawan, ia lebih merupakan sesuatu yang negatif. 
Saya dapati hanya sebuah akhbar yang boleh diterima sebagai 
menghidangkan laporan yang agak seimbang mengenai pilihaan raya umum 
ke-13 ini, iaitu SINAR HARIAN. Yang lain terlampau berat sebelah.
Seperti ramai orang, saya mencari sumber lain untuk mengikuti laporan 
pilihan raya di Malaysia, iaitu media asing dan sumber Internet.  Benar,
 bukan semua laporan dalam media Internet boleh dipercayai tetapi 
pandai-pandailah memilih yang mana satu nak diikuti. Seboleh-bolehnya 
usah ikuti wadah atau laman sesawang politik, yang pro-BN mahupun PR.
Kepada pelanggan Unifi yang menawarkan HyppTV, anda boleh ikuti laporan 
pilihan raya "Malaysia Decides" setiap malam yang disalurkan oleh 
Channel News Asia (CNA) Singapura. Saya dapati laporan oleh media 
Singapura ini seimbang, saksama dan profesional. Banyak perkara yang 
diabaikan oleh media tempatan, sama ada secara sengaja atau tidak, 
lazimnya disiarkan oleh CNA.
Dalam laporannya yang benar-benar profesional, CNN memberi ruang kepada 
kedua-dua pihak bersuara dan isu-isu yang dibangkitkan adalah isu 
seharian dan semasa yang menghantui rakyat. Laporan sedemikian tidak 
dibuat oleh mana-mana stesen tv Malaysia.
Satu perkara lagi yang menarik perhatian ramai pada pilihan raya kali 
ini ialah betapa 'murah hatinya' kerajaan kepada rakyat. Berbilion 
ringgit  diluluskan dalam bermacam bentuk bantuan dan sumbangan. Perkara
 sedemikian tidak pernah berlaku dalam 12 pilihan raya sebelum ini.
Siapa tidak mahu duit? Semua orang mahukan duit tetapi adakah ia dapat menjamin sokongan kepada yang memberinya? Belum tentu! 
Sikap pemurah hati ini tidak ubah seperti apa yang berlaku pada musim 
perayaan agama Kristian. Menjelang sambutan Hari Natal atau Krismas, 
kanak-kanak akan ternanti-nanti kedatangan "Father Christmas" atau 
"Santa Claus" untuk mendapat hadiah. Kegembiraan jelas terbayang diwajah
 mereka yang menerima hadiah itu walaupun ia tidak seberapa sangat.
Tetatpi, ramai lupa yang kegembiraan itu hanyalah sementara dan Santa terus dilupai sehinggalah musim perayaan akan datang.
Kepada para pengundi, jangan lupa untuk keluar mengundi. Ingat, jangan 
buang undi, tetapi mengundi. Undi anda amat berharga dan tidak 
seharusnya dibuang. Tidak tahu pula saya kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya
 (SPR) menyeru kita membuang undi, tidak mengundi?
No comments:
Post a Comment