Wednesday 30 November 2011

Menarik untuk direnungkan

Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur sekarang dikatakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 yang diramal diadakan sebelum sambutan tahun baru Cina.

Perwakilan dan pemerhati parti dari seluruh negara kecuali Sarawak, seperti lazimnya, menyambut baik saranan dan nasihat presiden parti terutama yang bersangkut paut dengan pemilihan calon pilihan raya akan datang.

Semuanya berjanji akan patuh menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh kepimpinan parti. Itulah gambaran yang dilakarkan oleh media terutama media yang dikawal atau dikuasai  Umno.

Namun demikian, kita percaya bukan semua ahli yang secara jujur dan ikhlas menyokong apa yang dinyatakan oleh presiden parti, terutamanya mereka yang bercita-cita dan mengharapkan untuk dipilih sebagai calon.

Presiden dan timbalan presiden UMNO mengakui bahawa pilihan raya umum ke-13 bukanlah sesuatu yang mudah dan disifatkan oleh orang nombor dua dalam parti itu sebagai 'ibu segala pilihan raya'. Ini bermakna UMNO sedar bahawa bukan senang bagi parti itu dan rakan-rakan kongsinya dalam Barisan Nasional (BN) untuk menang. 

UMNO sendiri sedar bahawa parti itu mesti meletakkan calon yang boleh menang, iaitu calon yang boleh diterima oleh rakyat dan ia tidak semestinya calon yang dipilih dari kalngan pemimpin peringkat bahagian. Calon yang boleh menang mungkin berada di luar bahagian berkenaan atau ahli biasa yang tidak menetap di kawasan yang ditandinginya.  

Persoalannya, mahukah kepimpinan peringkat bahagian menerima calon berkenaan kerana selama ini, UMNO mengamalkan cara pemilihan calon yang bersandarkan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Inilah cabaran yang mesti dilalui oleh parti kerana ia bukan sesuatu yang mudah.
UMNO sedar bahawa parti itu menghadapi berbagai masalah,  kesulitan dan dugaan di kalangan ahlinya sendiri selain menghadapi cabran hebat parti lawan terutama PAS. UMNO telah melalui penyusunan dan perubahan sejak parti itu diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk terus kekal relevan dalam arena politik Melayu.
Perubahan yang dilakukan didorong oleh keperluan semasa tetapi ia belum mencukupi untuk menjamin kelangsungan hidup parti terutama di kalangan generasi muda yang mepunyai selera dan naluri kehidupan yang jauh berbeza dengan golongan dewasa. Di sinilah letakn ya kelemahan utama UMNO berbanding dengan parti-parti lawan.
Banyak isu dan kejadian yang membabitkan tokoh-tokoh UMNO sama ada secara langsung atau tidak dilihat sebagai barah yang sedikit demi sedikit memusnahkan kepercayaan. Isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kehidupan mewah, kedudukan dan pangkat tidak terlepas daripada perhatian rakyat.
Perkara ini berlaku kerana di kalangan kepimpinan UMNO semua peringkat, ada diantaranya yang tidak menyedari akan tangungjawab, tidak mengutamakan kepentingan parti dan ahli-ahlinya kecuali kepentingan diri sendiri. 
Seperti yang ditegaskan oleh presiden UMNO,  pemimpin dan ahli parti kena berubah, jika tidak mereka akan diubah. Perubahan pasti akan berlaku pada pilihan raya umum ke-13 sekiranya UMNO salah pilih calon dan apa yang dapat dikatakan ialah hampir separuh daripada wakil rakyatnya yang ada mesti diubah untuk mengelak parti itu rebah. - Kuda Ranggi

Friday 25 November 2011

SELANGOR PUN SAMA KE???

Projek IC 'cemari daftar pemilih' di Sabah oleh Nigel Aw - Malaysiakini
Walaupun parti-parti politik Sabah berbeza dalam cadangan mereka untuk menambahbaik sistem pilihan raya, tetapi mereka sepakat  dalam aduan mereka bahawa apa yang dipanggil Projek IC, telah mengubah demografi negeri itu dan mencemari daftar pemilih.

Ketika memberi keterangan pada sesi pendengaran awam kedua jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) bagi penambahbaikan pilihan raya di Kompleks Pentadbiran Persekutuan di Kota Kinabalu hari ini, beberapa parti politik menggesa supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI).

Antara parti politik yang memberi keterangan kepada panel PSC yang diketuai pengerusinya, Tan Sri Maximus Jonhnity Ongkili hari ini ialah Upko, LDP dan PBS dari parti pemerintah dan PKR, DAP dan PSM untuk pembangkang.

Projek IC dilaporkan sebagai operasi bersepadu tetapi terselindung pada tahun 1980-an dan 1990-an untuk memberi kad pengenalan kepada rakyat asing, yang didakwa sebagai usaha untuk mengubah demografi Sabah yang menguntungkan Umno.

suhakam roundtable kk sabah 020806 dr chong eng leongAhli jawatankuasa PKR, Dr Chong Eng Leong, berkata, selain
menubuhkan RCI, mereka yang telah memperolehi kewarganegaraan melalui cara yang meragukan, hendaklah disemak semula.

"Jika anda bertanya kepada sesiapa sahaja - keluarga, pemilik restoran, pemilik ladang - sama ada mereka telah menggaji pekerja asing yang kini telah menjadi warganegara bumiputera, semua mereka mempunyai pengalaman ini," kata bekas ahli politik PBS itu.

Chong adalah antara mereka yang mendedahkan Projek IC pada 2006, semasa sesi pendengaran Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Integriti di Sabah.

Sebagai contoh, Chong berkata penduduk tempatan yang dilahirkan di Sabah meningkat sebanyak kira-kira 120,000 antara 1951 dan 1960 tetapi bilangan pengundi dalam senarai daftar pemilih 1999 bagi mereka yang lahir antara 1952 dan 1960, meningkat sebanyak 150,000.

"Jika 80 peratus daripada 120,000 itu merupakan pengundi berdaftar, maka pengundi kelahiran Sabah adalah di bawah 100,000... Mengapa ada 150,000?"

Sambil membangkitkan kadar pertumbuhan penduduk Sabah yang luar biasa, beliau berkata, jika ia mengikut kadar pertumbuhan Sarawak, negeri itu kini sepatutnya ada seramai 1.617 juta penduduk dan bukannya 2.354 juta pada 2010.

"Penduduk kami adalah dua pertiga penduduk Sarawak, tetapi kini ia menjadi sebaliknya."

Friday 18 November 2011

Ketua Menteri Pulau Pinang 'anti-Melayu', sejak zaman Chong Eu?

Kebenaran tu haq - Kuda Ranggi.

Kecuali  mendiang Tan Sri Wong Pow Nee, setiap seorang ketua menteri Pulau Pinang tidak terlepas daripada dituduh 'anti-Melayu'.
Mendiang Pow Nee yang menerajui pentadbiran Negeri Pulau Pinang sejak Merdeka sehingga pilihan raya umum 1969, terlepas daripada tuduhan itu mungkin kerana sentimen orang Melayu tidak dipengaruhi politik perkauman yang tebal. Rakyat Pulau Pinang memilih Perikatan, iaitu kerjasama tiga buah parti politik yang mewakili kaum Melayu (UMNO), Cina (MCA) dan India (MIC) demi mengekal perpaduan dan kerjasama antara kaum.
Kehidupan orang Melayu ketika itu bukanlah senang dan mereka menghuni kampung-kampung tradisional bukan sahaja di Seberang Perai tetapi di bahagian pulau termasuk dalam kawasan bandar raya George Town. Kemiskinan bukan sahaja menimpa orang Melayu tetapi Cina dan India terutama dalam kawasan bandar dan pinggir kota.  
Walaupun Perikatan menguasai pentadbiran negeri, pihak  yang menguasai Majlis Bandar Raya George Town, iaitu pihak berkuasa tempatan tertua dan pertama di negara ini selepas pilihan raya tempatan diadakan, ialah gabungan dua buah parti politik berhaluan kiri,  Partai Sosialis dan Partai Buruh yang membentuk Barisan Sosialis atau "Socialist Front".
Tiada banyak masalah yang timbul walaupun pentadbiran negeri dan pentadbiran kerajaan tempatan dipegang oleh dua buah gabungan parti politik yang berlainan ideologi. Pentadbiran negeri pimpinan Pow Nee menerajui negeri tanpa membawa banyak perubahan dalam bentuk pembangunan fizikal mahupun sumber manusia yang sekarang disebut sebagai pembangunan insan atau modal insan.
Pulau Pinang mula melihat dan merasai perubahan dalam pembangunan apabila pentadbiran Gerakan pimpinan mendiang Tun Dr Lim Chong Eu mengambil alih pada 1969.  Atas daya usaha allahyarham Tun Abdul Razak, Gerakan membentuk kerajaan campuran dengan UMNO yang kemudiannya berkembang membentuk Barisan Nasional.
Chong Eu membawa perubahan besar kepada ekonomi Pulau Pinang apabila beliau berjaya membawa masuk industri elektronik terutama dari Amerika Syarikat dan Jerman. Zon Perdagangan Bebas dan Zon Industri Bebas wujud membuka beratus ribu peluang pekerjaan dan membawa rahmat bukan sahaja kepada rakyat Pulau Pinang tetapi negeri-negeri di utara Semananjung dan Pantai Timur. 
Berpuluh  ribu anak Melayu dari kampung dan desa di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terenggu dan Pahang berhijrah ke Pulau Pinang untuk bekerja di kilang-kilang elektronik selain anak watan Pulau Pinang.
Berkat usaha  Chong Eu membawa masuk industri elektronik, ramai keluarga Melayu dapat dikeluarkan daripada takrif kemiskinan.
Selain industri elektronik, Chong Eu turut membangun semula industri pelancongan ekoran tindakan kerajaan persekutuan menarik balik taraf pelabuhan bebas Pulau Pinang untuk diberi kepada Langkawi.  Penarikan taraf pelabuhan bebas itu dilihat sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik dan Chong Eu terpaksa bekerja keras untuk memulih industri pelancongan pulau peranginan yang digelar "Mutiara Timur" itu.
Pembangunan pusat-pusat peranginan dan hotel tepi pantai bertaraf antarabangsa berjaya memulih industri pelancongan walaupun Pulau Pinang bukan lagi 'syurga membeli belah' seperti yang wujud semasa bertaraf pelabuhan bebas.
Walaupun Chong Eu berjaya membawa keluar Pulau Pinang daripada kemurungan akibat penarikan balik taraf pelabuhan bebas dan secara tidak langsung membantu beratus ribu anak Melayu yang menganggur bekerja di kilang-kilang elektronik, beliau tidak terlepas daripada tuduhan 'anti-Melayu'. 
Pengganti beliau, Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon juga tidak terlepas daripada tuduhan sedemikian walaupun beliau tidak sehebat Chong Eu tetapi sekadar meneruskan dasar pembangunan yang diletak asasnya oleh Chong Eu.
Sekarang, ketua menteri DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng pula menghadapi tuduhan 'anti-Melayu'. Tuduhan yang dihadapinya agak unik dan lebih teratur dan dirancang dengan teliti.
Guan Eng  kurang bernasib baik berbanding Chong Eu dan Tsu Khoon kerana dia menghadapi 'bantahan' termasuk secara demonstrasi jalanan oleh kumpulan-kumpulan yang kononnya mewakili badan-badan bukan kerajaan (NGO).  
Penunggang motosikal yang kebanyakannya mewakili penunggang 'kapcai' turut berdemonstrasi menghentam pentadbiran Guan Eng dan mendesak diadakan trek lumba motosikal untuk mereka. Demonstrasi mat-mat motor itu sudah tentu diatur dan dirancang oleh pihak tertentu yang disokong oleh kepentingan politik. Bukan mudah untuk mengumpul sebegitu ramai penunggang motosikal berkumpul di satu tempat untuk bermotosikal ke satu tempat lain secara serentak jika tidak dirancang terlebih awal.
Kita ingin tanya penganjur demonstrasi mat motor itu sama ada mereka sedar atau tidak, negeri-negeri lain juga tiada trek lumba motosikal khusus untuk mat-mat motor atau yang disebut polis sebagai samseng jalan raya. 
Selain penunggang motosikal, pengayuh beca pun dijadikan alat untuk golongan tertentu untuk membantah  pentadbiran Guan Eng dengan bermacam tuduhan. Sekali lagi, kita lihat ada perancangan terlebih dahulu untuk mengumpul pengayuh beca berkenaan.   
Sama seperti Chong Eu dan Tsu Khoon, Guan Eng juga dituduh 'anti-Melayu' dan tuduhan yang dihadapinya jauh lebih berat  kerana ia membabitkan dalang yang mewakili parti politik yang ditolak oleh rakyat Pulau Pinang.
Orang Melayu Pulau Pinang harus sedar bahawa mereka akan terus ditadbir oleh seorang ketua menteri bukan Melayu kerana UMNO, melalui presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak, telah memberi jaminan bahawa UMNO tidak akan tuntut jawatan itu walaupun menang besar. Adakah orang Melayu Pulau Pinang akan mengulangi tuduhan 'anti-Melayu' kepada ketua-ketua menteri berikutnya? 
Orang Melayu Pulau Pinang juga harus lihat kehidupan para pemimpin mereka yang sering memperalatkan golongan Melayu bawahan untuk membantah itu dan ini sedangkan mereka menghuni kediaman  mewah, berkereta mewah dan saban tahun bercuti ke luar negara. 
Penunggang motosikal dan pengayuh beca harus bertanya kepada kepimpinan Melayu Pulau Pinang apa yang mereka buat atau usahakan untuk membantu orang Melayu miskin, yang menganggur dan tiada kediaman tetap? 
Jangan terlalu mudah menuduh orang lain sebagai 'anti-Melayu' sedangkan di kalangan orang Melayu sendiri wujud mereka yang tidak memperdulikan untung nasib bangsanya sendiri.

Friday 4 November 2011

Lagi kata .. Kuda Ranggi

Zainal Keling buat kenyataan tidak berasas mengenai sejarah

Malaysia ataupun Malaya tidak pernah dijajah, kata Prof Zainal Keling. Ini bermakna pelajaran sejarah yang rakyat Malaysia pelajari di sekolah selama ini adalah salah dan satu penipuan besar.
Itulah yang dapat dikatakan.
Jika Malaysia atau Malaya tidak pernah dijajah, kenapa pemimpin-pemimpin negara perlu ke London untuk berunding dengan pihak berkuasa United Kingdom untuk mendapatkan kemerdekaan?
Kenapa kita perlu menurunkan bendera Union Jack dalam satu upacara gilang gemilang di Dataran Merdeka [Padang Kelab Selangor] dan dinaikkan pula Jalur Gemilang sebagai menandakan tamatnya pentadbiran Inggeris dan digantikan oleh pentadbiran atau sebuah kerajaan merdeka?
Jika negara ini tidak pernah dijajah, siapa yang memerintah Melaka apabila Portugis merampas tampuk pemerintahan Kesultanan Melaka pada 1511? Selepas itu diambil alih oleh Belanda, kemudian Inggeris, selepas itu Jepun dan akhirnya Inggeris sebelum Merdeka pada 31 Ogos 1957.
Itulah sejarah yang diajar dan dipelajari di sekolah dan kepimpinan kita sebelum dan selepas Merdeka merujuk kepada Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sebagai penjajah. Adakah mereka salah?
Kita ingin tahu apakah tujuan sebenar Prof Zainal Keling menyatakan bahawa negara ini tidak pernah dijajah? Adakah dia menafikan sejarah?
Atau ia tidak lebih daripada nak mengampu pihak tertentu.