Friday 17 February 2012

PERTANDINGAN MENGARANG CERPEN DAN PUISI MAULIDURRASUL

Pertandingan mengarang cerpen dan puisi (sajak) berunsur Islam sempena Maulidur Rasul 1433H/2012M Hadiah-hadiah lumayan disediakan untuk Cerpen kategori Remaja & Sekolah Menengah Atas, Kategori IPT & Dewasa dan Sajak.
Syarat penyertaan dan Hadiah
1. Warganegara Malaysia
2. Lahir atau bermastautin di Negeri Selangor
3. Berumur 15 tahun ke atas
4. Ditulis dalam Bahasa Melayu.
5. Cerpen
- Kategori Remaja dan Sekolah Menengah Atas berumur 15 tahun ke 17 tahun
- Kategori IPT dan dewasa berumur 18 tahun ke atas
-Kategori remaja dan Sekolah Menengah Atas panjang cerpen 1000 hingga 1200 perkataan
- Kategori dewasa dan pelajar IPT panjang cerpen 2000 hingga 2500 perkataan
- Cerpen yang ditulis mestilah berunsur Islamik, menepati ciri-ciri sebuah cerpen konvensional seperti tema, latar, watak dan perwatakan, plot dan lain-lain.
- Cerpen ditulis dengan langkau dua baris dan font type Times New Roman, saiz font : 12
6. Sajak
- Tiada had umur
- Panjang sajak ialah 20 baris hingga 30 baris perkataan.
- Sajak yang ditulis mestilah bertema Islam, menepati disiplin penulisan puisi (sajak) konvensional
- Bentuk sajak eksperimental tidak dibenarkan.
7. Seseorang peserta dibenarkan menghantar hanya satu karya bagi setiap genre.
8. Cerpen dan sajak adalah hasil tulisan sendiri, asli dan belum pernah diterbitkan/ tersiar di mana-mana media cetak dan elektronik. Penganjur tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang terhadap sebarang sabitan atau tuntutan mahkamah.
9. Biodata penulis hendaklah ditulis pada helaian yang berasingan dengan manuskrip.
10. Karya boleh dihantar menerusi email : sastera_rakyat@yahoo.com (sertakan biodata seperti Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan, Umur, Alamat, Jantina, Kategori Remaja dan Sekolah Menengah Atas/ Dewasa dan Pelajar IPT serta Nombor Telefon.
11. Karya yang dihantar menerusi pos hendaklah dikepilkan bersama keratan borang penyertaan yang boleh didapati menerusi akhbar rasmi pertandingan. Alamatkan kepada : PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT (PKM), DUN HULU BERNAM, BALAI RAYA JALAN BESAR, HULU BERNAM, 35900 HULU BERNAM, SELANGOR.
NO TEL: 05-4599810, 013-2477902 (NAHARUDDIN). Tulis perkataan : PERTANDINGAN MENGARANG di penjuru sebelah bawah sampul surat.
12. Pihak penganjur akan menghantar slip jawapan sebagai bukti penerimaan.
13. Penganjur tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan karya semasa proses penghantaran
14. Bukti pos tidak dilayan.
15. Karya-karya akan dinilai oleh panel berwibawa yang dilantik oleh penganjur.
16. Keputusan adalah muktamad. Surat menyurat tidak dilayan.
17. Pemenang setiap kategori akan duumumkan pada program Sambutan Maulid 1433H yang akan diberitahu tarikhnya kemudian.
18. Karya yang menang menjadi hak penganjur.
19. Tarikh tutup penyertaan ; 06 April 2012.
20. Hadiah :
- Cerpen kategori Remaja dan Sekolah Menengah Atas RM800 (Pertama), RM500 (Kedua), RM300 (Ketiga), RM 50.00 (5 hadiah saguhati).
- Cerpen kategori IPT dan Dewasa RM 1000 (Pertama),  RM800 (Kedua), RM500 (Ketiga), RM 100 (5 hadiah saguhati).
-Sajak RM300 (Pertama), RM 200 (Kedua), RM 100 (Ketiga), RM50 (5 hadiah saguhati).
21. Semua penyertaan akan diberi sijil.

Monday 13 February 2012

KEJAYAAN KERAJAAN PR DI PULAU PINANG

Apa yang dilakukan oleh pentadbiran negeri Pulau Pianang untuk Islam

Saya menghabiskan lapan hari di Pulau Pinang dan dalam tempoh tersebut dapat melihat dan meneliti beberapa perkara yang sering dijadikan 'berita sensasi' mengenai untung nasib Melayu/Islam. Jika mempercayai sepenuhnya laporan-laporan yang dimuat dalam akhbar dan media elektronik 'arus perdana', kita pasti akan marah dan melemparkan 1001 tuduhan kepada pentadbiran negeri.

Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya sedar dan tahu akan kedudukan sebenar atau apa yang berlaku dan dilakukan sebelum pilihan raya 2008.  Banyak masalah berkaitan orang Melayu/Islam bermula sebelum 2008 dan berterusan hingga ke hari ini.   

Banyak perkampungan Melayu dalam kawasan bandar raya dan pinggirnya wujud atas tanah milik bukan Melayu termasuk golongan pemberi hutang yang digelar 'Ceti' dan apabila tuan tanah jual harta mereka itu, maka orang Melayu yang 'menumpang'  di situ terpaksa berpindah. Akibat daripada perpindahan itu,  berkuranglah jumlah atau bilangan orang Melayu dalam kawasan bandar raya atau pinggir bandar.

Dalam kawasan bandar raya, kampung Melayu/Islam yang masih kekal adalah atas tanah wakaf seperti di Lebuh Aceh (Acheen Street - wakaf Syed Hussein Idid) walaupun hanya tinggal beberapa buah rumah sahaja,  Kampung Makam di Jalan Dato' Keramat (wakaf Sheikh Kassim) dan Kampung Syed di Jalan Burma (wakaf Kupima Ku Zainal Abidin/Syed Mohamad Alhabshee).

Ketiga-tiga buah kampung itu kini bernilai tinggi dan dilihat sebagai 'lombong emas' yang mengundang banyak pihak menaruh  minat tetapi oleh kerana tarafnya sebagai harta  wakaf, maka pihak tertentu tidak boleh menyentuhnya. Bayangkan apa akan  berlaku jika ketiga-tiga kawasan atau hartanah itu bukan harta wakaf?

Sekitar tahun 1970-an ada pihak yang ingin membangunkan Kampung Makam selaras dengan kehendak dan wasiat pewakif untuk memastikan ia selari dengan kemajuan dan pembangunan sekitarnya. Malangnya, usaha tersebut dibantah oleh segelintir penduduk dan akibatnya Kampung Makam kekal seperti sedia kala hingga sekarang. 

Kebelakangan ini, pentadbiran negeri sering dijadikan sasaran dan kecaman oleh pihak-pihak tertentu yang antara lain menuduhnya menganaktiri dan menzalimi orang Melayu dan orang Islam. Mereka melempar tuduhan dengan merujuk kepada pentadbiran negeri sebagai "kerajaan DAP" sedangkan ia adalah sebuah kerajaan campuran tiga buah parti politik yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Mungkin dengan merujuk kepada pentadbiran negeri sebagai "kerajaan DAP" pihak berkenaan berharap ia dapat membakar semangat marah di kalangan orang Melayu dan Islam. 

Banyak masalah yang dibangkitkan oleh mereka sebenarnya bukan perkara baru. Ia mula berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional/Perikatan dan diwarisi oleh pentadbiran Pakatan Rakyat. Kebanyakan daripada masalah yang bersangkut-paut dengan isu tanah dan perumahan membabitkan soal undang-undang dan pentadbiran yang mengambil alih selepas pilihan raya umum 2008 tidak seharusnya dipersalahkan.

Pentadbiran Pakatan Rakyat yang berkuasa di Pulau Pinang, walaupun dicemuh oleh pihak tertentu, telah membuktikan kecemerlangan khususnya dalam aspek pentadbiran kewangan dan memelihara kebajikan rakyat.

Belanjawan atau Bajet  2012 Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya mengukuhkan kesihatan dana negeri dengan mengurangkan hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu daripada RM630.13 juta kepada RM29.66 juta dalam tempoh tiga setengah tahun sahaja. 

Pengurangan hutang sebanyak RM600.47 juta atau 95.29 peratus adalah kadar yang paling cemerlang di antara semua negeri di Malaysia. Hasil daripada pengukuhan kewangan, penjimatan dan perbelanjaan berhemah yang diperolehi melalui prinsip tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah disalurkan untuk keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Antara program yang dilancarkan atau diperkenalkan sejak 2008 - Program Membasmi Kemiskinan Tegar, Program Penghargaan Warga Emas, bantuan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal serta Penghargaan Anak Emas yang bermul pada 2011.

Mulai tahun ini, kerajaan negeri bertekad untuk membantu 743 Ketua Isi Rumah (KIR) yang majoritinya orang Melayu, memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan yang membabitkan bantuan sebanyak RM4.0 juta setahun. Kerajaan negeri mensasarkan sebelum 2015, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghapuskan miskin tegar  sepenuhnya.

Sudah tentu ada pihak yang kurang senang dengan apa yang saya nyatakan tetapi itulah hakikatnya dan itulah kenyataan. Saya tidak memihak kepada sesiapa tetapi sebagai anak Pulau Pinang, saya kena akui dan terima kenyataan tanpa mengira siapa atau parti politik mana yang berkuasa.

Saya  perturunkan fakta kewangan berkaitan Hal Ehwal Agama Islam yang dilaksana oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sejak ia mentadbir negeri pada 2008. Ia adalah fakta, bukan sesuatu yang direka-reka untuk menyedap hati atau sebagai hiasan jendela. BN merujuk kepada pentadbiran Barisan Nasional pimpinan Parti Gerakan dan PR merujuk kepada pentadbiran Pakatan Rakyat pimpinan DAP.


1. PERUNTUKAN BERKAITAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM

Tahun 2008 (BN) ..............RM25.7 juta
Tahun 2009 (PR)...............RM33.2 juta
Tahun 2010 (PR)...............RM38.9 juta
Tahun 2011 (PR)...............RM45.7 juta
Tahun 2012 (PR)...............RM64.03 juta


2. SAGUHATI TAHUNAN GURU KAFA

Tahun 2008 (BN)..............RM659,000.00
Tahun 2009 (PR)...............RM879,000.00
Tahun 2010 (PR)...............RM913,200.00
Tahun 2011 (PR)...............RM900,000.00
Tahun 2012 (PR)...............RM900,000.00


3. PERUNTUKAN TAMBAHAN TAHUNAN UNTUK SEKOLAH AGAMA RAKYAT (SAR)

Tahun 2008 (BN).............TIADA
Tahun 2009 (PR)..............RM1.50 juta
Tahun 2010 (PR)..............RM1.75 juta
Tahun 2011 (PR)..............RM1.75 juta


4. SUMBANGAN DAN PENGIKTIRAFAN AL-HUFFAZ

Tahun 2008 (BN)............TIADA
Tahun 2009 (PR).............RM75,000.00
Tahun 2010 (PR).............RM100,000.00
Tahun 2011 (PR).............RM130,000.00


5. SUMBANGAN EKYA' RAMADAN (KEPADA SELURUH MASJID)

Tahun 2008 (BN)............TIADA
Tahun 2009 (PR).............RM213,000.00 setahun bermula  tahun 2008 selepas ambil alih pentadbiran negeri


6. PROGRAM BULANAN AL-QURAN

Tahun 2008 (BN)..........TIADA
Tahun 2009 (PR)...........RM100,000.00 setahun


*FAKTA ADALAH  DARIPADA JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM PULAU PINANG

Saya tidak pasti sama ada berita ini mendapat tempat dalam media arus perdana tetapi percaya ianya tidak dilaporkan. Apa yang dilaporkan lebih merupakan laporan negatif yang mencemuh dan memberi gambaran buruk terhadap pentadbiran negeri semata-mata kerana ia diterajui oleh DAP.
-BLOG KUDA RANGGI