Wednesday 21 December 2011

Zuraidah mahu wanita dilayan seperti bola ragbi


YB Zuraidah Kamaruddin, ahli Parlimen PKR untuk Ampang dijemput memberi ucapan dalam satu kursus program motivasi kepada bakal-nakal pengantin.

Imej Zuraidah agak tercemar sejak digelar blogger sebagai hantu Mak Lampir sebagai membayangkan karakter Ketua Wanita PKR yang aggresif dan lantang. Tetapi ramai tidak tahu bahawa Zuraidah adalah aktivis Islam dari perkumpulan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Sebagai aktivis wanita, Zuraidah memberi peringatan kepada bakal-bakal suami.

"Tuan-tuan pasti sayang bakal isteri tuan-tuan sekelian sekarang. Saya takut perasaan itu akan berubah mengikut masa dan keadaan dan tuan-tuan mula berubah anggapan terhadap wanita kemudiannya.

Katanya, "Tuan-tuan, wanita itu bukan TISU untuk anda sudah sedap lap hingus dan buang."

Tersentak hadirin mendengar pembukanya.

"Wanita itu bukan BAJU untuk setiap minggu anda mahu nak tukar yang baru. Wanita itu bukan PATUNG untuk anda layani dengan enteng setelah anda mendapatnya sebagai pasangan."

Zuraidah terus dengan kata-kata provokatifnya.

"Dan, wanita itu bukan PELACUR untuk anda guna, bayar dan tinggalkan saja!"

Pooh tersentak orang-orang bujang yang dengar. Terperanjat bercampur takut masing-masing.

Zuraidah meneruskan lagi, "Wanita itu bukan ROKOK untuk anda hisap dan dibiar dibuang dan pijak lepas habis dipakai. Wanita itu bukan TV untuk hanya sekadar untuk menghiburkan anda ketika kelapangan."

"Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, wanita bukan itu semua.

"Jadikanlah wanita macam BOLA RAGBI. Apabila dapat, DILINDUNG...SAMPAI ke gol! Dan ketika tidak dapat, KEJAR SAMPAI DAPAT ..."

Shahrizat atau Zuraida yang lebih mirip Mak Lampir? - Kuda Ranggi

Isu panas membabitkan keluarga Menteri Pembngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semakin panas bahkan mula mendidih. Semuanya kerana sikap ketua Wanita Umno itu sendiri yang telah dan masih  mengalihkan isu itu termasuk kepada Wanita Umno, wal hal ia tiada kaitan sama sekali dengan Wanita Umno.

Shahrizat menggunakan pentas Wanita Umno untuk membidas dan menghentam ketua wanita Parti KeAdilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Ampang,  Zuraida Kamaruddin. Perbuatan Shahrizat tidak disenangi oleh sebilangan tokoh veteran Wanita Umno kerana ia tiada kaitan sama sekali dengan pergerakan itu.

Tepukan dan jeritan sebilangan ahli Wanita Umno yang sesekali kedengaran semasa ketua mereka berucap pada mesyuarat agung pergerakan itu tidak ubah dan boleh disamakan dengan sorakan muda-mudi yang menghadiri konsert rock. Selepas konsert, semuanya pulang kerana terhibur dan tidak lebih daripada itu.

Sekurang-kurangnya muda-mudi yang menghadiri konsert rock rasa berbaloi dengan hiburan itu sedangkan perwakilan wanita Umno pulang dengan beberapa tanda tanya mengenai kedudukan ketua mereka. Perlu diingatkan bukan semua ahli yang menyokong dan setuju dengan tindakan Shahrizat mengaitkan masalah 'peribadi' dengan pergerakan itu.

Shahrizat mengaitkan pembangkang kononnya sebagai 'anasir' yang menyerang beliau dan Wanita Umno berkaitan isu ladang ternakan lembu  (NFC)  yang mendapat peruntukan atau pinjaman  RM250 juta daripada Kerajaan Persekutuan dimana suami  dan anaknya merupakan 'orang kuat' dalam perbadanan itu.

Shahrizat lupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa isu NFC tidak dibangkitkan oleh pembangkang tetapi oleh Ketua Audit Negara melalui laporan tahunannya. Isu itu turut  dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat oleh salah seorang "hulubalang"  dari parti Shahrizat sendiri, iaitu Bung Mokhtar Radin yang mendesaknya meletak jawatan.

Sudah tentu pembangkang turut membangkitkan isu NFC kerana ia membabitkan wang rakyat, soal kewibawaan, integriti, ketelusan dan kesaksamaan dalam melaksanakan projek yang berkaitan dasar kerajaan. Bodohlah wakil-wakil rakyat pembangkang sekiranya mereka membisu seribu bahasa.

Selain Bung Mokhtar, beberapa orang pemimpin pertengahan Umno turut mendesak Shahrizat melepaskan jawatan Kabinet yang disandangnya demi kepentingan parti. Mereka menyifatkan ia sebagai satu beban kepada parti yang bakal menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

Saya juga mendapat tahu bahawa ada ahli perwakilan ke perhimpunan agung Umno yang ingin membangkitkan isu NFC tetapi telah dilarang oleh pucuk pimpinan. Benarlah apa yang dinyatakan sebelum ini oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, iaitu tiada kebebasan bersuara 'sepenuhnya' dalam Umno.

Mungkin kerana tidak tahan melihat Umno menjadi bahan serangan bertubi-tubi oleh lawan, maka seorang ketua bahagian yang lantang bersuara melalui media arus perdana khususnya Utusan Malaysia, iaitu Datuk Wira Syed Ali Alhabshee meluahkan isi hatinya dengan menasihati Shahrizat supaya meletakkan kepentingan parti di atas kepentingan-kepentingan lain. Beliau merujuk kepada isu NFC yang menurutnya seperti kata-kata kiasan "memikul biawak hidup".

Dalam erti kata yang mudah difahami, Syed Ali mendesak Shahrizat letak jawatan kerana isu NFC pasti akan menjejas  Umno yanag sememangnya sudah "tenat" apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Desakan Syed Ali nampaknya tidak disenangi oleh "penyokong" Shahrizat yang pada 15 Disember lalu, atas nama NGO yang tidak pernah dengar "menyerang" pejabat Umno Bahagian Cheras kononnya untuk menyerah memorandum berkaitan isu "biawak hidup" kepada ketua Umno berkenaan.

Turut sama dalam "pasukan"  ke Pusat Rekreasi Cheras yang menempatkan pejabat Umno itu ialah dua orang pegawai dari pejabat Shahrizat. Nah, sudah terang dan tidak perlu disuluh lagi, bahawa siapa yang turut terlibat.

Saya difahamkan bahawa mereka dilayan dengan baik oleh ketua dan kakitangan pejabat Umno Bahagian Cheras tetapi apa yang berlaku agak mendukacitakan kerana ada percubaan untuk mencederakan Syed Ali sehingga pegawainya terpaksa memanggil polis untuk mengawal keadaan. 

Hujung minggu lepas, Shahrizat turun ke Ampang, kubu kuat Zuraida Kamaruddin, ketua wanita PKR yang dijadikan sasaran serangannya. Marah betul Shahrizat kepada Zuraida yang berulang kali mendesaknya meletak jawatan berhubung isu NFC.

Zuraida Kamaruddin turut digelar sebagai "Mak Lampir" iaitu satu watak dalam filem seram Indonesia dan dia dijadikan bahan serangan semasa Shahrizat turun ke Ampang.

Nampaknya Shahrizat masih tidak sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar akan kenyataan bahawa isu NFC yang membabitkan suami dan anaknya menjadi "barah" kepada Umno yang sedikit demi sedikit merebak ke seluruh anggota yang akhirnya membunuh.

Shahrizat tidak perlu "hemoi" atau tebal muka untuk menerima kenyataan. Beliau tidak seharusnya "menyerah" kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya. Jika dia sayangkan parti yang begitu baik dan berbudi kepadanya walaupun dia tumbang kepada seorang yang boleh diibaratkan sebagai "anak" pada pilihan raya umum lepas,  dia mesti letak jawatan parti dan kerajaan. Itulah tindakan yang betul yang mesti diambil olehnya.

Siapa yang lebih layak digelar "Mak Lampir", Shahrizat atau Zuraida?

Friday 2 December 2011

Bahan hujah...

Indeks jenayah P Pinang turun 20.1 peratus - sumber Malaysiakini
Indeks jenayah Pulau Pinang berjaya mencatatkan penurunan sebanyak 20.1 peratus dalam tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Zahruddin Abdullah.

Beliau berkata penurunan kadar jenayah itu melepasi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang menetapkan penurunan 20 peratus.

"Jumlah kes-kes jenayah yang dilaporkan sehingga November tahun ini ialah 9,011 kes berbanding 11,281 kes pada tahun lepas," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata penurunan yang ketara berlaku pada jenayah ragut melibatkan 1,088 kes tahun ini berbanding 1,793 kes pada tahun lalu. Manakala jenayah pecah rumah mencatatkan penurunan sebanyak 445 kes berbanding 1,996 kes dilaporkan tahun lepas.

Walaubagaimanapun menurut Zahruddin kes samun motosikal mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas.

"Tetapi kawalan sentiasa diperkemaskan dari semasa ke semasa. Pemilik motosikal perlu lebih berhati-hati kerana pencuri motosikal kini menaik taraf peralatan yang digunakan untuk memudahkan kerja-kerja merompak," katanya.

Antara kawasan yang menerima laporan kehilangan motosikal paling kerap adalah di Seberang Perai Timur dan Daerah Timur Laut.