Pihak tidak bertanggungjawab dikesan cuba mensabotaj program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan mengembalikan hasil negeri kepada rakyat.
Perkara ini didedahkan Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan pada sesi temu rapat Menteri Besar bersama Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan Pentadbir Tanah/Daerah Negeri Selangor di Hotel Awana, Genting Highland, hari ini.
Beliau berkata, pihak berkenaan menghasut penduduk dengan mendakwa program MES yang diperkenalkan Kerajaan Selangor tidak membawa manfaat kepada rakyat.
Tanpa berselindung, Nor Hisham mendedahkan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor bertanggungjawab memburuk-burukkan program MES di kalangan penduduk di daerah itu.
Sehubungan dengan itu, Nor Hisham mencadangkan Kerajaan Negeri memperhebatkan promosi dan hebahan program MES supaya tiada lagi pihak tertentu yang memutar belitkan fakta tentang kebaikan MES.
Mengulas pendedahkan itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, sikap pemimpin membuktikan mereka dayus dan mengkhianati aspirasi rakyat yang mahukan lebih banyak program kebajikan.
Beliau berkata, walaupun berbeza fahaman politik, wakil rakyat BN berkenaan sepatutnya membantu rakyat mendapat bantuan kebajikan yang ditawarkan kerajaan negeri.
"Bantuan kebajikan yang diberikan kerajaan Selangor diagihkan kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira ideologi politik. Amat tidak adil rakyat diberikan fahaman yang salah mengenai bantuan kebajikan ini sedangkan mereka berhak menerima bantuan yang disediakan," katanya.
Faekah menasihatkan wakil rakyat berkenaan supaya berhenti memainkan politik kotor dan memanipulasikan rakyat untuk kepentingan diri sendiri dan pada masa yang sama menjadikan rakyat tidak bersalah sebagai mangsa.
Dikeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR
No comments:
Post a Comment