PRU-13 - Dua Tun hampir senada mengenai kedudukan BN
Saya amat tertarik dengan kenyataan   atau jika boleh dikatakan sebagai 'ramalan' mengenai kedudukan Barisan   Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang disebut-sebut akan   diadakan seawal Jun tahun ini.
Yang paling menarik ialah  kenyataan  mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang juga dikenali  sebagai  'orang kanan' mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meramalkan  bahawa  BN hanya akan mempertahankan kuasanya di Johor, Melaka dan  Pahang. Tun  Daim dipetik oleh harian berbahasa Mandarin, Nanyang Siang  Pau dan  dikutip oleh Malaysiaknini sebagai berkata bahawa BN boleh  mencatat  kemenangan mudah di tiga buah negeri itu.
Ungkapan 'kemenangan mudah'  bermakna  BN akan dengan mudah menang. Kita tertanya-tanya pula bagaimana   kedudukan atau keberhasilan kempen BN yang sebegitu hebat sekarang di   negeri-negeri lain yang  ditadbir oleh gabungan parti-parti politik   itu?
Adakah BN akan menang tetapi  bukan  secara 'menang mudah' atau akan tumbang? Kita ketepikan dahulu  soal  kedudukan BN di Pulau Pinang dan Kelantan kerana Tun Daim sendiri   mengakui bahawa BN akan kalah di kedua-dua negeri yang ditadbir oleh   Pakatan Rakyat itu.
Saya setuju bahawa Pakatan  Rakyat  akan terus berkuasa di Kelantan dan Pulau Pinang walaupun  kedua-dua  negeri itu menjadi sasaran serangan hebat dan bertubi-tubi  oleh media  yang dikuasai, dikawal atau yang menyokong BN. Ada saja  berita dan  laporan  negatif yang disebar luas mengenai kedua-dua negeri  itu.
Perlu diingatkan bahawa  menjelang  PRU-12 yang lalu, Tun Daim meramalkan bahawa BN akan tumbang  di Pulau  Pinang, Kedah dan Selangor dan ia menjadi kenyataan. Oleh itu,  apa yang  dibayangkan oleh Tun Daim mengenai PRU-13 tidak boleh  diketepikan  begitu sahaja. Ia mungkin dan boleh menjadi kenyataan  memandangkan  kedudukan PM Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dikatakan  semakin popular  di kalangan rakyat, disifat pula oleh Tun Daim sebagai  "jeneral tanpa  askar". Dalam bahasa yang mudah difahami, ia  bermakna  jeneral itu akan  kalah perang.
Tun Dr Mahathir pula berpendapat adalah sukar untuk meramal keputusan PRU-13 kerana keadaan yang disifatkannya sebagai 'mengelirukan'.
Apa yang mengelirukan hanya Tun   Mahathir yang tahu. Tetapi pada umumnya, ia tidak mengelirukan kerana   rakyat tidak keliru walaupun pelbagai andaian dibuat oleh pengulas dan   penganalisis menara-menara gading yang meninjau dari bilik berhawa   dingin  masing-masing. Hampir semuanya memberi ulasan atau kupasan   'akademik' yang pro-BN. Sudah tentu ulasan mereka tidak akan disiarkan   jika sebaliknya. Itu cukup jelas.
Tun Mahathir dilapor oleh  Bernama  sebagai berkata 'bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga  majoriti  kali ini' dan saya amat bersetuju dengan pendapat itu. Agakan  saya BN  tidak akan dapat majoriti dua pertiga.
Kita ketepikan soal Datuk Seri  Anwar  Ibrahim dan kita teliti apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir iaitu   'pembangkang sekarang bukan seperti dahulu' dan saya ingin menambah   bahawa pengundi sekarang pun bukan seperti pengundi dua dekad dahulu.   Pengundi sekarang bijak dan tidak mudah dipengaruhi oleh habuan wang   ringgit atau kebendaan. Mereka boleh berfikir dan pandai membuat   keputusan. Mereka dapat menilai yang mana satu kaca dan yang mana pula   intan.
Soal Anwar sememangnya menjadi  'duri  dalam daging' kepada BN dan juga Pakatan Rakyat. Ia boleh menjadi   'penawar' dan juga 'racun' dan kedua-dua pihak yang berlawanan akan   menjadikan isu Anwar sebagai senjata untuk menang. Yang jelas Anwar   bukan calang-calang orang untuk ditumbangkan walaupun dia pernah ditahan   mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dipenjarakan mengikut Kanun   Keseksaan, dia masih tegak berdiri. Namun begitu,  Anwar  bukan   'penentu' kemenangan Pakatan Rakyat, tetapi PAS.
No comments:
Post a Comment