Tuesday 28 June 2011

PERLEMBAGAAN PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) PINDAAN 2011

Melalui saluran ini LIT akan mempamerkan secara bersiri kandungan Perlembagaan PAS pindaan 2011 untuk makluman Setiausaha Kerja semua peringkat khasnya dan ahli amnya.
BAB YANG PERTAMA
FASAL 1 : NAMA - Nama pertubuhan ini ialah "Parti Islam Se-Malaysia" ringkasnya disebut 'PAS' sahaja.
FASAL 2 : Pejabat yang didaftar ialah : Pejabat Agung PAS, No.316-A, Jalan Raja Laut, 50350 KL.
BAB YANG KEDUA
FASAL 3 : Dasar - PAS ialah ISLAM
FASAL 4 : Seruan - PAS ialah ALLAHU AKBAR
BAB YANG KETIGA
FASAL 5 : Tujuan PAS - i. memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.  ii. Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
FASAL 6 : Usaha-usaha -
 1. menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
 2.memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikanna sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentabdiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
3. Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan , politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.
5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki sususan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara yang membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.
6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan -badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilaman dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa Al-Quran.
8.  Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.
9.  Memperjuangkan  hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan  penindasan di kalangan umat manusia.
11.  Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

FASAL 7- Hukum dan Kekuasaan
1.  Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.
2. Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian 1 itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan Muktamar atau Mesyuarat Agung PAS.

No comments:

Post a Comment