Indeks jenayah P Pinang turun 20.1 peratus - sumber Malaysiakini 
Indeks  jenayah Pulau Pinang berjaya mencatatkan penurunan sebanyak  20.1  peratus dalam tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding  tempoh  yang sama tahun lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah  negeri SAC  Zahruddin Abdullah.
Beliau berkata penurunan kadar jenayah itu melepasi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang menetapkan penurunan 20 peratus.
"Jumlah   kes-kes jenayah yang dilaporkan sehingga November tahun ini ialah  9,011  kes berbanding 11,281 kes pada tahun lepas," katanya kepada  pemberita  di George Town hari ini.
Beliau berkata penurunan  yang ketara  berlaku pada jenayah ragut melibatkan 1,088 kes tahun ini  berbanding  1,793 kes pada tahun lalu. Manakala jenayah pecah rumah  mencatatkan  penurunan sebanyak 445 kes berbanding 1,996 kes dilaporkan  tahun lepas.
Walaubagaimanapun menurut Zahruddin kes samun motosikal mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas.
"Tetapi   kawalan sentiasa diperkemaskan dari semasa ke semasa. Pemilik  motosikal  perlu lebih berhati-hati kerana pencuri motosikal kini menaik  taraf  peralatan yang digunakan untuk memudahkan kerja-kerja merompak,"   katanya.
Antara kawasan yang menerima laporan kehilangan motosikal paling kerap adalah di Seberang Perai Timur dan Daerah Timur Laut.
No comments:
Post a Comment