Isu panas membabitkan keluarga Menteri  Pembngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul  Jalil semakin panas bahkan mula mendidih. Semuanya kerana sikap ketua  Wanita Umno itu sendiri yang telah dan masih  mengalihkan isu itu  termasuk kepada Wanita Umno, wal hal ia tiada kaitan sama sekali dengan  Wanita Umno.
Shahrizat menggunakan pentas Wanita  Umno untuk membidas dan menghentam ketua wanita Parti KeAdilan Rakyat  (PKR) yang juga Ahli Parlimen Ampang,  Zuraida Kamaruddin. Perbuatan  Shahrizat tidak disenangi oleh sebilangan tokoh veteran Wanita Umno  kerana ia tiada kaitan sama sekali dengan pergerakan itu.
Tepukan dan jeritan sebilangan  ahli Wanita Umno yang sesekali kedengaran semasa ketua mereka berucap  pada mesyuarat agung pergerakan itu tidak ubah dan boleh disamakan  dengan sorakan muda-mudi yang menghadiri konsert rock. Selepas konsert,  semuanya pulang kerana terhibur dan tidak lebih daripada itu.
Sekurang-kurangnya muda-mudi  yang menghadiri konsert rock rasa berbaloi dengan hiburan itu sedangkan  perwakilan wanita Umno pulang dengan beberapa tanda tanya mengenai  kedudukan ketua mereka. Perlu diingatkan bukan semua ahli yang menyokong  dan setuju dengan tindakan Shahrizat mengaitkan masalah 'peribadi'  dengan pergerakan itu.
Shahrizat mengaitkan pembangkang  kononnya sebagai 'anasir' yang menyerang beliau dan Wanita Umno  berkaitan isu ladang ternakan lembu  (NFC)  yang mendapat peruntukan  atau pinjaman  RM250 juta daripada Kerajaan Persekutuan dimana suami   dan anaknya merupakan 'orang kuat' dalam perbadanan itu.
Shahrizat lupa atau sengaja  buat-buat lupa bahawa isu NFC tidak dibangkitkan oleh pembangkang tetapi  oleh Ketua Audit Negara melalui laporan tahunannya. Isu itu turut   dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat oleh salah seorang  "hulubalang"  dari parti Shahrizat sendiri, iaitu Bung Mokhtar Radin  yang mendesaknya meletak jawatan.
Sudah tentu pembangkang turut  membangkitkan isu NFC kerana ia membabitkan wang rakyat, soal  kewibawaan, integriti, ketelusan dan kesaksamaan dalam melaksanakan  projek yang berkaitan dasar kerajaan. Bodohlah wakil-wakil rakyat  pembangkang sekiranya mereka membisu seribu bahasa.
Selain Bung Mokhtar, beberapa  orang pemimpin pertengahan Umno turut mendesak Shahrizat melepaskan  jawatan Kabinet yang disandangnya demi kepentingan parti. Mereka  menyifatkan ia sebagai satu beban kepada parti yang bakal menghadapi  pilihan raya umum tidak lama lagi.
Saya  juga mendapat tahu bahawa ada ahli perwakilan ke perhimpunan agung Umno  yang ingin membangkitkan isu NFC tetapi telah dilarang oleh pucuk  pimpinan. Benarlah apa yang dinyatakan sebelum ini oleh YBM Tengku  Razaleigh Hamzah, iaitu tiada kebebasan bersuara 'sepenuhnya' dalam  Umno.
Mungkin kerana tidak tahan  melihat Umno menjadi bahan serangan bertubi-tubi oleh lawan, maka  seorang ketua bahagian yang lantang bersuara melalui media arus perdana  khususnya Utusan Malaysia, iaitu Datuk Wira Syed Ali Alhabshee meluahkan  isi hatinya dengan menasihati Shahrizat supaya meletakkan kepentingan  parti di atas kepentingan-kepentingan lain. Beliau merujuk kepada isu  NFC yang menurutnya seperti kata-kata kiasan "memikul biawak hidup".
Dalam erti kata yang mudah  difahami, Syed Ali mendesak Shahrizat letak jawatan kerana isu NFC pasti  akan menjejas  Umno yanag sememangnya sudah "tenat" apabila menghadapi  pilihan raya umum ke-13.
Desakan Syed Ali nampaknya tidak  disenangi oleh "penyokong" Shahrizat yang pada 15 Disember lalu, atas  nama NGO yang tidak pernah dengar "menyerang" pejabat Umno Bahagian  Cheras kononnya untuk menyerah memorandum berkaitan isu "biawak hidup"  kepada ketua Umno berkenaan.
Turut sama dalam "pasukan" ke Pusat Rekreasi Cheras yang menempatkan pejabat Umno itu ialah dua orang pegawai dari pejabat Shahrizat. Nah, sudah terang dan tidak perlu disuluh lagi, bahawa siapa yang turut terlibat.
Saya difahamkan bahawa mereka  dilayan dengan baik oleh ketua dan kakitangan pejabat Umno Bahagian  Cheras tetapi apa yang berlaku agak mendukacitakan kerana ada percubaan  untuk mencederakan Syed Ali sehingga pegawainya terpaksa memanggil polis  untuk mengawal keadaan. 
Hujung minggu lepas, Shahrizat  turun ke Ampang, kubu kuat Zuraida Kamaruddin, ketua wanita PKR yang  dijadikan sasaran serangannya. Marah betul Shahrizat kepada Zuraida yang  berulang kali mendesaknya meletak jawatan berhubung isu NFC.
Zuraida Kamaruddin turut digelar  sebagai "Mak Lampir" iaitu satu watak dalam filem seram Indonesia dan  dia dijadikan bahan serangan semasa Shahrizat turun ke Ampang.
Nampaknya Shahrizat masih tidak  sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar akan kenyataan bahawa isu NFC  yang membabitkan suami dan anaknya menjadi "barah" kepada Umno yang  sedikit demi sedikit merebak ke seluruh anggota yang akhirnya membunuh.
Shahrizat tidak perlu "hemoi"  atau tebal muka untuk menerima kenyataan. Beliau tidak seharusnya  "menyerah" kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya. Jika dia  sayangkan parti yang begitu baik dan berbudi kepadanya walaupun dia  tumbang kepada seorang yang boleh diibaratkan sebagai "anak" pada  pilihan raya umum lepas,  dia mesti letak jawatan parti dan kerajaan.  Itulah tindakan yang betul yang mesti diambil olehnya.
Siapa yang lebih layak digelar "Mak Lampir", Shahrizat atau Zuraida?
No comments:
Post a Comment