Apakah kedudukan sebenar kadar jenayah di Malaysia? Pihak kerajaan dan 
PDRM berkata ia telah menurun semenjak kerajaan memperkenalkan Program 
Transformasi Kerajaan (GTP).
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) melalui Unit 
Pencegahan Jenayah berkata, dalam langkahnya untuk mengurangkan 
kerisauan orang ramai, bahawa perangkaan kadar jenayah menurun sebanyak 
10.1 peratus pada lima bulan pertama tahun ini. Dari 2010 sehingga tahun
 lalu, indeks jenayah turun sebanyak 11.1 peratus manakala jenayah 
jalanan menurun 39.7 peratus dalam tempoh yang sama.
Tetapi, mantan Inspektor-Jeneral Polis Tan Sri Musa Hassan yang 
berkhidmat selama 40 tahun dan memimpin PDRM selama empat tahun mulai 
2006, berkata kadar jenayah di Malaysia sememangnya meningkat.
Yang lebih menarik perhatian saya adalah apabila Musa berkata pihak 
berkuasa, iaitu kerajaan dan PDRM itu sendiri, tidak seharusnya 
'menyorok' atau menyembunyi fakta kepada orang ramai.
"Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah," Musa memberitahu The Malaysian Insider.
Menurut Musa kadar jenayah pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan. 
"Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 'bodyguard'.
Sindiran Musa amat tajam dan pada saya ada kebenarannya.
Tetapi, KPN yang mengganti Musa, Tan Sri Ismail Omar berkata Musa tidak 
mempunyai maklumat terkini dan tidak tahu kedudukan sebenar. Untuk 
membuktikannya, Ismail 'turun padang' sebagai menandakan ianya selamat.
Ismail tidak pula memberitahu berapa ramai anggota polis tidak 
beruniform yang berada sekelilingnya semasa dia 'beramah mesra' dengan 
orang ramai.  Kepada mereka yang mengetahui, mereka tahu akan kehadiran 
detekif Cawangan Khas (SB) dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) di 
lapangan untuk memberi 'perlindungan keselamatan' kepada bos mereka 
itu. 
Saya menumpang hidup di sebuah taman perumahan yang turut didiami oleh 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein. Oleh itu, saya sering 
melihat 'rombongan' beliau keluar dan masuk untuk bekerja atau bertugas.
Jika keadaan selamat dan tidak membimbangkan, maka tidak perlulah bagi 
Hisham untuk diiringi oleh sekurang-kurangnya dua anggota UTK berjaket 
hitam dan  bermotosikal berkuasa tinggi, sebuah kereta peronda dan 
anggota trafik bermotosikal.
Rumah Hisham dan semua anggota kabinet  dikawal 24 jam oleh anggota battalion khas Pasukan Gerakan Am (PGA).
 Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Musa Hassan, "jika jenayah tak
 teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 
'bodyguard'.
Rakyat amat menghargai khidmat bakti anggota keselamatan terutama PDRM, 
mereka sentiasa menjalankan tugas sebaik mungkin untuk menjamin 
keselamatan dan ketenteraman awam. Hakikat yang perlu diterima ialah 
PDRM tidak berkeupayaan berada di semua tempat untuk mencegah jenayah.  
Kadar jenayah di seluruh dunia meningkat ekoran kemerosotan ekonomi 
seperti yang dinyatakan oleh Musa Hassan. Malaysia tidak terlepas 
daripada hakikat tersebut.
Dunia tanpa sempadan turut membawa masuk penjenayah berprofil tinggi 
dari benua Afrika, Amerika Selatan dan Asia. Kepada mereka, Malaysia 
adalah 'lubuk' dimana mereka boleh meraih 'habuan' melalui kegiatan 
jenayah. 
Oleh itu, seperti yang disarankan oleh Musa Hassan, PDRM perlu membuat 
penambahbaikan dari segi mengubah teknik dalam memerangi jenayah 
terutama dari sudut perolehan risikan.
Penjenayah semakin cerdik dan canggih, PDRM mesti lebih cerdik dan lebih canggih untuk memerangi penjenayah. 
- kudaranggi.blogspot.com
No comments:
Post a Comment