Saya tidak terperanjat membaca laporan yang menyatakan dua orang
pemimpin UMNO Pulau Pinang bertindak selaku 'broker' dalam urusan jual
beli tanah milik Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau. Ia bukan sesuatu
yang baru dan yang menghairankan.
Balik Pulau merupakan satu-satunya daerah di bahagian pulau yang
majoriti penduduknya orang Melayu dan Ahli Parlimen juga Melayu. Jika
kampung demi kampung milik Melayu dipindah milik ke tangan bukan Melayu,
khususnya syarikat-syarikat pemaju hartanah, maka akan terhakislah
'wajah' perkampungan Melayu Pulau Pinang.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Selama ini, lebih tegas lagi selepas BN kalah di Pulau Pinang, pemimpin
UMNO begitu kuat bersuara kononnya mempertahankan kepentingan Melayu
terutama tanah milik Melayu.
Siapa pula yang menjadi 'broker' untuk membeli dan menjual tanah milik
31 keluarga Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau? Bukankah ini
perbuatan mereka yang tergolong dalam kategori munafik? Atau kata rakyat
biasa "cakap tak serupa bikin" dan mementingkan diri sendiri daripada
kepentingan orang Melayu secara amnya.
Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
secara terang-terangan menyebut nama dua orang pemimpin UMNO berkenaan,
iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Musa Sheikh
Fadzir yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pengarah
Pilihan Raya BN Negeri yang juga anak saudara Musa, iaitu Omar Faudzar.
Menurut Guan Eng, kedua-dua Musa dan Omar meraih keuntungan 57 peratus
atau RM5 juta melalui syarikat milik mereka, Maison Heights Sdn. Bhd.
dalam tempoh tiga setengah bulan sahaja.
Tanah milik 31 penduduk kampung berkenaan dipindah milik kepada Maison
Heights pada 31 Januari lalu dengan jumlah harga RM8.6 juta untuk
kemudian dijual kepada Kay Pride Sdn. Bhd. pada 16 Mei dengan harga
RM13.5 juta.
Saya percaya apabila Kay Pride atau syarikat lain yang bakal memajukan
tanah tersebut dengan sama ada kondo mewah atau pembinaan hartanah lain,
maka akan adalah NGO yang menyokong parti politik tertentu membuat
bising dengan alasan mempertahankan kepentingan Melayu, dan yang akan
dipersalahkan ialah pentadbiran negeri Pulau Pinang atau "kerajaan DAP".
Wal hal, yang menjadi 'broker' dan meraih keuntungan atas angin
sebanyak RM5 juta adalah pemimpin UMNO.
UMNO atau mana-mana NGO "Melayu" Pulau Pinang tidak boleh mempersalahkan
orang lain jika pemimpin mereka sendiri yang terlibat dalam penjualan
tanah milik Melayu. Usahlah bersandiwara jalanan kerana rakyat tidak
buta dan tuli untuk melihat dan mendengar apa yang berlaku.
Oh ya, jika ingin melihat 'perjuangan' pemimpin Melayu Pulau Pinang
khususnya UMNO, lihat saja kediaman dan kereta mewah milik mereka.
Baru-baru ini, ada seorang daripada mereka yang membeli sebuah kondo
mewah di Persiaran Gurney (Paragon Gurney) bernilai lebih RM1 juta.
Hebatkan pemimpin Melayu Pulau Pinang!
Kita ingin membaca laporan Utusan Melayu mengenai perkara ini. Atau
mungkin pengarangnya dah dapat arahan (perintah) untuk tidak
menyiarkannya kerana ia tidak memberi 'kelebihan dan keuntungan' kepada
UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan selepas umat
Islam berhari raya. Mungkin itu agaknya. - dr blog KUDARANGGI
No comments:
Post a Comment